Sunday, March 28, 2010

BN yakin mampu rampas semula parlimen Hulu S'gor








BN yakin mampu rampas semula parlimen Hulu S'gor






Abdul Rahim Sabri
Mac 27, 10
1:54am

BN yakin mempunyai peluang untuk merampas semula kerusi parlimen Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan ekoran kematian penyandangnya dari PKR semalam.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini kerana Pakatan Rakyat memenangi kerusi tersebut dalam pilihan umum lalu dengan majoriti tipis.

Di samping itu, katanya, kecuali kerusi parlimen tersebut, kesemua tiga DUN dalam kawasan pilihan raya tersebut dimenangi oleh BN.

Ketiga-tiga DUN tersebut ialah Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno).

"Kita percaya suasana dan senario telah berubah, BN ada peluang untuk menang kali ini," kata Najib selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi.

"Bagaimanapun, kita mesti memberi tumpuan dan menunjukkan kesungguhan untuk kita bekerja keras untuk mencapai kejayaan," tambah perdana menteri.

Dalam pilihan raya umum 2008, calon BN, Datuk G Palanivel tewas kepada kepada calon PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia semalam akibat barah otak.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan memanggil pilihan raya kecil bagi kawasan tersebut dalam tempoh 60 hari. SPR pula akan bermesyuarat Jumaat depan untuk memutuskan tarikhnya.

Walaupun ia merupakan kerusi majoriti Melayu, tetapi ianya diperuntukkan kepada MIC. Palanivel menang pada 1999 dan 2004, tetapi tewas kepada Zainal Abidin pada 2008.

Zainal Abidin mendapat 23,177 undi untuk menang tipis dengan 198 undi. Palanivel pula mendapat 22,979 undi.

Menurut Najib yang juga presiden Umno, jentera pilihan raya akan digerakan di bawah timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai ketua keseluruhannya.

Manakala Datuk Noh Omar dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil tersebut dan ketua Umno bahagian berkenaan, Datuk Mohamed Idris Bakar sebagai timbalannya.

Ditanya mengenai MIC yang mahu terus meletakkan calonnya di situ, Najib berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu terlebih dahulu.

Semalam, Samy Vellu berkata MIC akan mencadangkan Palanivel yang juga timbalan presiden parti itu sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Ditanya mengenai gesaan akar umbi yang mahukan Umno meletakkan calonnya di situ, Najib menjawab: "Nanti dulu... janganlah... sabar."

Ini merupakan pilihan raya kecil kesepuluh selepas pilihan raya umum 2008 dengan Pakatan memenangi tujuh daripadanya dan BN pula menang dua kerusi.

Sementara itu, perdana menteri berkata, mesyuarat MT malam tadi juga turut menyentuhkan tentang langkah kerajaan Kelantan melantik ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perunding mewakili kerajaan negeri dalam isu tuntutan royalti minyak.

Najib berkata itulah adalah keputusan kerajaan negeri Kelantan untuk melantik Tengku Razaleigh.

"Wang ehsan atau sumbangan kita buat mengikut perlembagaan. Apapun ia adalah untuk kebaikan rakyat Kelantan," katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa dilaporkan berkata, mesyuarat mingguan exco negeri itu membuat ketetapan tersebut dan surat pelantikan akan dihantar segera.

Husam berpendapat, pelantikan tersebut adalah satu penghormatan buat Tengku Razaleigh berdasarkan kedudukannya sebagai bekas Pengerusi Petronas dan menjadi orang yang merangka Akta Petroleum 1974.

Selain itu, kata perdana menteri, mesyuarat MT malam tadi juga turut membincangkan tentang ekonomi dan juga langkah pemulihan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Katanya, mesyuarat itu juga mendengar pandangan ahli MT mengenai model ekonomi baru yang akan dibentangkan oleh kerajaan, agar ia mencapai objektifnya, untuk mentransformasi ekonomi menjadi sebuah negara maju dan meningkatkan pendapatan yang lebih tinggi.

Sementara itu Najib mengesahkan bahawa Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan pintasan jantung minggu lepas dan akan menyambung tugasnya seperti biasa apabila pulih kelak.

Mesyuarat tersebut turut mengadakan upacara mengangkat sumpah anggota T yang baru, Datuk Hamidah Osman yang mewakili pergerakan Wanita Umno.

Najib berkata pelantikan ketua penerangan Wanita yang juga ahli exco kanan kerajaan Perak itu adalah berdasarkan perlembagaan parti yang baru.

No comments:

Post a Comment